Penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia telah memberikan impak yang dalam aspek kesihatan, ekonomi dan sosial komuniti global. Dicatatkan bahawa kes positif di seluruh dunia kini telah mencecah 205,338,159 kes dan kematian sebanyak 4,333,094 pada 13 Ogos 2021. Kini Malaysia telah mencapai jumlah keseluruhan 1,363,683 kes, kematian 11,968 kes dicatatkan pada 13 Ogos 2021. Hal ini telah membimbang rakyat kerana sejak 13 Julai 2021 sehingga kini, kes harian telah mencecah lebih 10,000 ke 20,000 ke atas (World Health Organization 2021, https://www.worldometer.info). Selain itu, penularan wabak ini juga memberi impak kepada kesihatan mental individu seperti kegelisahan, gangguan tekanan pasca trauma dan sebagainya (Hemavathi et. al, 2020). Seterusnya, Abdul Azizi, A. et. al, 2020) dalam tulisannya mencatatkan bahawa sepanjang tempoh pandemik ini telah memberikan impak yang mendalam terhadap kesejahteraan ekonomi dan sosial. Dalam konteks industri media, seni dan hiburan telah diberi arahan untuk penutupan institusi, organisasi dan syarikat produksi dan digalakkan untuk mengamalkan norma baharu seperti memakai pelitup muka di tempat awam serta mengelakkan perhimpunan dan berada dalam ruang yang sempit dan tertutup, selain itu, juga menjaga penjarakan sosial. Kesemua ini merupakan satu cabaran yang besar bagi industri seni seni dan hiburan kerana ia lazimnya memerlukan penggiat seni bersentuhan secara fizikal semasa latihan, membuat persiapan serta melakukan persembahan (Suhaimi et.al, 2020). Oleh itu, kesemua aktiviti terpaksa diberhentikan serta merta bagi mengelakkan penularan wabak yang berterusan. Untuk menyelesaikan masalah ini, teknologi ICT telah dikemukakan untuk para penggiat seni juga semua pihak yang perlu teruskan bekerja seperti guru dan pekerja syarikat. Applikasi seperti Zoom, Google Meet, Webex, Skype, Google Classroom dan sebagainya telah mulai digunakan oleh rakyat untuk mencari inisiatif teruskan bekerja daripada putus punca pendapatan.
Untuk membangunkan seni dalam tempoh pandemik ini, penggiat seni perlu mencari inisiatif untuk bijak mengambil peluang menerusi bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk terus menghasilkan karya, menghasilkan produk kreatif bagi mengatasi cabaran COVID-19 ini. Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Dana Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma). Kedua-dua inisiatif ini merupakan keprihatinan kerajaan kepada penggiat seni dan juga bagi membantu mereka yang bekerja di belakang tabir (https://www.astroawani.com/berita-hiburan/penggiat-seni-kreatif-digesa-bijak-ambil-peluang-bantuan-disediakan-kerajaan-288241, 2021).
Terdapat banyak lagi program dalam Inisiatif Pemulihan CENDANA-PRISMA. Pakej Ransangan Industri Kreatif Malaysia ini diurus oleh MyCreative Ventures dan CENDANA. Ia tertumpu khusus kepada industri-industri seni dan budaya. Terdapat sebanyak 12 program yang telah diusahakan oleh kerajaan bagi membantu membangunkan sektor kebudayaan dan kesenian. Program-program tersebut adalah seperti Program Pembiayaan Ketahanan Organisasi Seni, Program Pemulihan Ruang Seni, Program Pembiayaan Seni Persembahan, Adiguru CENDANA, Program Pembiayaan Pameran Seni Visual dan sebagainya (https://www.kkmm.gov.my/images/pdf/2_Inisiatif_Pemulihan_CENDANA-PRISMA.pdf). Selain itu, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (LPPM) juga memperkenalkan Geran Sokongan Pelancongan, Seni dan Budaya (GSPB) bagi memberi bantuan kepada mereka yang berkaitan termasuk juga penggiat seni. Tujuannya adalah untuk memastikan industri pelancongan, seni dan budaya terus berdaya saing dengan sokongan dan bantuan supaya penggiat industri dapat mempromosikan hasil atau produk karya kreatif masing-masing lalu memajukan sektor industri pelancongan (Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, 2021).